Thursday, May 3, 2018

JUDI MENJADI-JADI - 65 individu dicekup, wang RM17,355 dirampas dalam 32 serbuan di seluruh Sarawak

BAHAN BUKTI: Mesin perjudian dirampas dalam satu serbuan.

KUCHING: Seramai 65 individu berusia antara 17 hingga 65 tahun telah dicekup dan wang tunai RM17,355 dirampas dalam 32 serbuan yang dijalankan di seluruh negeri pada 8 hingga 14 Ogos lalu.
Dua daripada mereka yang ditangkap adalah warga asing dan 52 adalah lelaki.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri SAC Dev Kumar berkata operasi pada minggu lepas (32 serbuan berjaya dilaksanakan) menyaksikan serbuan terbanyak dalam masa seminggu setakat ini pada tahun ini.
“Tiga puluh serbuan tersebut berjaya menangkap 65 individu yang terlibat dalam kegiatan mempromosikan loteri awam tanpa lesen, perjudian dalam talian dan laga ayam.
“Sebanyak 27 serbuan ada kaitan dengan loteri haram, empat serbuan berkaitan perjudian dalam talian dan satu serbuan laga ayam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.
Dev Kumar berkata 55 tablet yang digunakan untuk perjudian Internet dirampas di Lubok Antu dan Kuching manakala dua mesin perjudian dirampas di Kuching.
Mengenai 27 serbuan loteri haram, beliau berkata pelbagai bahan pameran seperti pencetak mudah alih, telefon bimbit, kalkulator, lejar taruhan dan slip telah dirampas.
“Serbuan laga ayam dijalankan di Kampung Palas, Limbang di mana 11 lelaki ditangkap dan empat ekor ayam jantan hidup dan tiga bangkai ayam dirampas,” katanya.
Dev Kumar berkata 12 daripada keseluruhan serbuan dijalankan oleh ibu pejabat JSJ Negeri diikuti JSJ Bintulu yang mencatat empat serbuan dan dua serbuan masing-masing oleh JSJ Padawan, JSJ Limbang dan JSJ Sri Aman.
Daerah JSJ lain yang masing-masing melancarkan satu serbuan adalah Kuching, Sibu, Miri, Kota Samarahan, Sarikei, Simunjan, Song, Marudi, Belaga dan Lubok Antu, tambahnya.
RAMPAS: Salah seekor ayam jantan yang dirampas di Kampung Palas, Limbang.